Khamis, Februari 20, 2014

Feminin dan Album Kompilasi

'Trend' sesebuah syarikat rakaman menerbitkan album kompilasi bukanlah fenomena yang baru dalam industri seni tanahair. Aktiviti ini dikesan telah lama diamalkan dengan pelbagai tujuan, samada diterbitkan untuk satu-satu acara besar peringkat nasional mahupun antarabangsa, sebagai medium memperkenalkan single terbaru artis-artis di bawah naungan mereka atau pun strategi mengaut keuntungan lebih atas populariti artis-artis semasa.

Sebagai artis yang digolongkan dalam gred A, Feminin turut tidak terlepas dari dipilih untuk menyerikan serta memeriahkan lagi album-album kompilasi terbitan syarikat rakaman tempatan. Berikut kami senaraikan antara album kompilasi yang menyelitkan lagu-lagu hebat dendangan kumpulan Feminin.


1. Album Kompilasi 'Hebat Hangat'

Album terbitan Warner Music pada tahun 1995 ini memuatkan 14 buah lagu antaranya Asli (Nash), Warisan Wanita Terakhir (Teacher's Pet) dan Di Persimpangan Delima (Nora). Daripada Feminin, lagu Rindu telah dipilih. Tujuan utama penerbitan album ini sebagai wadah mempromosikan single terbaru artis Warner yang akan dikeluarkan sepanjang tahun 1995.


2. Album Kompilasi 'Konsert Kemuncak Dunia'

Album khusus yang diterbitkan sempena projek Malaysia menghantar pendaki ke puncak Everest. Album yang diterbitkan oleh Warner Music pada tahun 1997 ini, dilakukan secara rakaman langsung ketika konsert khas 'Everest 97 Malaysia Boleh' di Dataran Merdeka. Ketika konsert ini, Feminin telah mendendangkan lagu Kehadiran. Terdapat 14 lagu kesemuanya di dalam album ini.


3. Album Kompilasi 'Jelita' 

Album kompilasi hasil kerjasama Warner dan BMG pada tahun 1997 diterbitkan dengan menggabungkan nama-nama besar artis wanita daripada dua syarikat rekod utama negara ketika itu. Antara nama yang terlibat seperti Nora, Ziana Zain, Ramlah Ram, Wan Hardiah, Mas Idayu dan ramai lagi. Feminin yang umum ketahui sebaris dengan nama-nama hebat ini turut tersenarai dengan lagu Kehadiran.


4. Album Kompilasi 'Ini Baru Power'

Sepanjang pengetahuan kami, ini merupakan album kompilasi pelbagai artis terakhir yang pernah disertai oleh Feminin. Projek istimewa KRU Records pada tahun 2005 telah menghimpunkan lagu-lagu popular yang pernah dicipta oleh KRU antaranya Permata Pemotong Permata (Ella), Asmaradana (Tiara Jacquelina), Seksis (Anita Sarawak), Trauma (Elite) dan semestinya Feminin dengan lagu Untukmu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan