Khamis, Mei 30, 2013

Anugerah Video M - Ride and Slide



video


Anugerah Video M ('M' singkatan kepada perkataan Muzik atau Malaysia) merupakan satu-satunya anugerah yang pernah ada di negara kita buat masa ini yang mengiktiraf hasil kerja berkaitan penghasilan video-video muzik tanahair. Sementelah dengan perkembangan pesat industri seni ketika itu, yang meperlihatkan penggiat-penggiat seni berlumba-lumba menghasilkan video muzik yang berkualiti dan mencapai standard antarabangsa.

Kewujudan anugerah ini amat bertepatan dengan situasi semasa. Namun akibat kegawatan ekonomi, usaha ini terbantut sehingga kini. Sepanjang pengetahuan kami, anugerah ini hanya mampu dianjurkan sekali sahaja dengan RTM telah dipilih sebagai rakan penyiar. Mungkin disebabkan itu, anugerah ini jarang diperkatakan oleh mereka yang terlibat dalam bidang muzik.

Walaupun hanya pernah diadakan sekali, penganjuran berskala besar ini amat meriah dengan kehadiran para artis samada yang tercalon, membuat persembahan atau sekadar hadir sebagai jemputan. Pada malam gilang gemilang ini, Feminin telah terpilih sebagai salah seorang artis yang diminta untuk membuat persembahan. Mereka telah memilih lagu 'Ride and Slide', lagu Inggeris pertama mereka untuk didendangkan dengan gerak tari yang energetik serta unik.

Mengenakan sepesalinan serba hitam dengan fesyen elegan sofistikated, dimeriahkan lagi dengan penari iringan Dee Boyz, persembahan Feminin amat memukau dan menghiburkan. Ini merupakan julung kali mereka mempersembahkan lagu ini untuk siaran TV. Pada majlis ini, Feminin telah mencalonkan video muzik 'Kini' untuk beberapa kategori. Rezeki tidak memihak kepada mereka kerana tiada satu pun kategori yang mereka menangi. Walau bagaimanapun, bagi kami, tersenarai sebagai calon akhir dalam kategori tertentu sudah cukup membuktikan video muzik yang di hasilkan Feminin berkualiti dan mampu berdiri sama tinggi di persada seni Malaysia.

Rabu, Mei 08, 2013

Tribute from Versus

Penghargaan daripada penggiat indsutri seni untuk seseorang artis biasanya diberi kepada mereka yang berjaya meninggalkan kesan kepada dunia seni serta memberi hasil kerja yang mampu mencapai taraf malar segar. Dalam kata lain artis itu berjaya menjadi ikonik semasa era mereka atau lebih hebat lagi menjadi legenda. Itulah yang terjadi kepada kumpulan Feminin, walaupun mereka telah lama tidak bergiat aktif dalam bidang hiburan, hampir 15 tahun lamanya, namun lagu-lagu mereka yang mencapai malar segar terus diminati malah diberi tempat yang sepatutnya sehingga kini.

Antara usaha yang sering dilakukan adalah memberi sentuhan serta interpretasi baru dari penggiat seni semasa kepada karya-karya agong kumpulan Feminin. Rancangan Versus terbitan TV9 antara yang sering mengangkat lagu-lagu Feminin sebagai tugasan kepada band-band yang bertanding untuk menterjemahkan lagu-lagu popular Feminin mengikut kaca mata mereka. Hasilnya amat luar biasa dan ada diantaranya di luar jangkauan fikiran kami. Berikut kami kongsikan antara persembahan band yang terlibat dalam menyampaikan lagu Feminin. Perlu ditekankan di sini, bukan semua artis boleh dihargai sebegini kerana hanya yang benar-benar layak akan terus diingati...


video

Band Go Gerila telah mendendangkan lagu 'Untukmu' untuk musim pertama Versus. Lagu yang membawa mesej pencintaan bahagia ini dibawa oleh Feminin dalam mood yang cukup ceria dan menggembirakan. Namun di tangan Go Gerila lagu ini telah diperlahankan dengan suntikan berat percintaan yang amat romantik. Bagi kami usaha ini amat kontra tetapi menjadikan 'Untukmu' kekal relevan dengan sentuhan baru dan segar. 


video

Ini pula persembahan band Kristal dengan lagu 'Rindu' semasa musim kedua Versus. Umum mengetahui lagu ini amat Feminin dan agak sukar untuk dibawa oleh penyanyi lelaki apa lagi oleh sebuah band rock. Kristal menjadikan lagu ini sedikit kasar dan sedikit mengecewakan apabila melodi asal di tukar untuk disesuaikan dengan imej rock mereka. Walau bagaimanapun, kami tetap menghargai usaha me'rock'an lagu 'Rindu' ini...


video

Tidak pernah terbayang sama sekali lagu 'Kini' boleh disampaikan secara dikir barat, tetapi itulah yang telah disampaikan oleh band Manifesto ketika menjayakan Versus musim kedua. Usaha yang amat menjadi dan perlu diberi pujian kerana bagi yang tidak pernah mendengarkan lagu ini versi Feminin mungkin akan mengandaikan ini adalah lagu Manifesto. 'Kini' oleh Feminin yang membawa mesej kekecewaan dalam bercinta dilihat kena sebagai luahan hati seorang wanita. Manakala 'Kini' versi Manifesto pula merupakan sisi luahan hati seorang lelaki. Tahniah Manifesto!!!