Khamis, Julai 28, 2011

Muzik-Muzik Separuh Akhir - Untukmu (Live)

Ini merupakan kemunculan pertama kali Feminin di gelanggang separuh akhir Muzik Muzik dengan lagu 'Untukmu'... namun begitu, tidak dapat tidak ia juga menjadi 'mimpi ngeri' mereka kerana Feminin telah gagal memberi persembahan seperti diharapkan oleh semua pihak khususnya pemerhati dunia seni tanahair. Semua sedia maklum separuh akhir Muzik Muzik mengkehendaki setiap artis membuat persembahan secara langsung. Mungkin kerana kurang pengalaman dan gugup kerana pertama kali beraksi secara langsung serta ditambah pula dengan tekanan ramai pihak mengharapkan lagu 'Untukmu' yang memang sedang popular ketika itu untuk terus mara ke akhir, menjadikan keyakinan mereka ketika beraksi sedikit tergugat.

Dengan penumpuan lebih kepada vokal, konsep persembahan Feminin kali ini agak sederhana. Mereka masih menari (kecuali As) walaupun tidak selincah ketika persembahan miming... masih menghiburkan. Pemilihan pakaian juga agak sederhana sesuai dengan usia awal remaja mereka. Secara keseluruhan, bagi kami persembahan Feminin tidaklah mengecewakan sangat dan mulai saat ini mereka telah berusaha untuk memperbaiki kelemahan ini dan hasilnya Feminin membuktikan mereka boleh menyanyi secara langsung.

video

Rabu, Julai 20, 2011

HMI - Sendiri

Ini merupakan antara persembahan Feminin di zaman kemuncak populariti mereka. Rakaman yang dijalankan di Auditorium Perdana, Angkasapuri ini sempena konsert khas akhir tahun 1994 yang dianjurkan oleh Radio Muzik. Untuk makluman, ketika itu Radio Muzik merupakan stesen radio nombor satu dari segi jumlah pendengar (Radio Era masih belum wujud lagi...).

Feminin dipilih membuat persembahan kerana mereka telah menjadi artis paling lama bertahan dalam carta Lagu Popular Radio Muzik sepanjang tahun 1994 dengan lagu 'Kini'. Namun begitu, disebabkan mereka pernah mendendangkan lagu 'Kini' dalam persembahan lain di RTM sebelum ini, untuk konsert ini mereka telah memilih lagu 'Sendiri' sementelah mereka juga sedang dalam proses memperkenalkan single terbaru mereka ketika itu.

Persembahan secara miming dengan diiringi tarian latar dari kumpulan D'Boys ini digunakan sebaik mungkin dengan memperlihatkan gerak tari unik dan tersendiri mereka. Mengenakan persalinan baju putih lengan panjang, skirt hitam pendek dan stoking paras lutut disertakan tatarias yang ala-ala futuristik, ternyata hasilnya satu kombinasi fesyen yang menakjubkan!

video

Rabu, Julai 13, 2011

HMI - Rindu

Kali ini kami kongsikan aksi Feminin ketika menjayakan rancangan HMI terbitan RTM. Mereka telah mendendangkan lagu 'Rindu' secara miming dengan gerak tari asal lagu ini. Buat kesekian kalinya, Feminin telah beraksi dengan tiga ahli sahaja setelah pengunduran Deq Nor yang ingin memberi tumpuan kepada keluarga yang baru dibina.

Beraksi dengan kurang seorang ahli serta selaras dengan pertambahan usia mereka, busana yang dipilih lebih mewakili sisi dewasa mereka dengan tatarias yang tidak 'over the top'. Namun begitu, rakaman yang dilakukan sekitar awal tahun 1997 di auditorium P.Ramlee ini masih mampu menimbulkan pesona Feminin yang unggul walaupun tidak segah sebelumnya.

video